Monday, May 16, 2011

Menangani masalah lebihan populasi monyet bandar

Saudara pengarang,

Menangani masalah gangguan monyet di kawasan bandar

Terdapat banyak kawasan perumahan baru di pinggir bandar besar di negara kita dibina di kawasan hutan asal, hutan sekunder atau bekas ladang getah yang mana sebelum ini menampung populasi hidupan liar termasuklah monyet dan beruk.

Kebanyakkan haiwan liar lain akan melarikan diri ke kawasan lain namun spesies berukera mempunyai ketahanan untuk bertahan di kawasan habitat asalnya kerana mereka mempunyai naluri survivaliti dan amat kreatif untuk menangani masalah baru. Lebih-lebih lagi jiran baru kepada populasi berukera ini mempunyai sumber makanan baru kepada mereka, dengan keadaan tiada haiwan pemangsa semulajadi untuk mengawal seperti harimau , ular dan beruang maka populasi berukera di kawasan itu berganda dan mengancam keselamatan manusia pula.

Kaedah membunuh populasi berukera atau memindah sebahagian populasi tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk jangka masa panjang kerana sisa populasi ia yang masih tinggal akan menyesuaikan diri dengan keadaan malah seolah berdendam melakukan lebih kerosakan kepada jiran manusia, maka pendekatan lebih holistik dan bijak perlu diambil bagi menangani masalah secara total tanpa masalah di masa akan datang.

Maka itu dicadangkan agar pemindahan populasi berukera itu dijalankan sepenuhnya oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan orang awam walaupun ini akan mendatangkan kos operasi yang tinggi. Pemindahan total itu hendaklah dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama semua pihak seperti ahli Jkkk setempat, anggota rela dan pihak majlis bandaran.

Selain melakukan pemindahan total populasi berukera itu, lokasi 'rumah' baru mereka hendaklah jauh dari populasi manusia. Lokasi hutan sekunder, pulau berhutan terpencil atau hutan simpan yang telah direzabkan boleh dijadikan calon penempatan baru untuk berukera itu.

Pemindahan populasi berukera itu juga perlu dipastikan juga wujudnya populasi pemangsa semulajadi bagi mengawal populasi berukera itu. Senarai pemangsa semulajadi adalah harimau belang, harimau kumbang, harimau akar, ular sawa dan beruang.

Jika tempat baru itu tidak mempunyai pemangsa semulajadi, maka pihak berkuasa perlu memasukkan haiwan pemangsa itu diambil dari zoo atau haiwan pemangsa yang ditangkap di tempat lain juga disebabkan oleh masalah terlebih populasi juga. Maka itu populasi berukera tersebut akan berada dalam bilangan keseimbangan semulajadinya.


Oleh : Mohd Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.

Maklumat tambahan;
No. I/C : 740102-11-6391
No. Tel : 019 902 50 15
Alamat : Lot 1727, Padang Pak Wan, Kampung Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu Darul Iman.
Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web : www.ramzamuda.blogspot.com

No comments:

Post a Comment