Friday, January 7, 2011

Tambah Seri Sisipan Utusan Melayu

Saudara pengarang,

Cadang Tambah Seri Utusan Melayu Sisipan

Kehadiran sisipan Utusan Melayu sekali seminggu cukup membawa nolstalgia silam kepada kita semua, ia merupakan satu-satunya warisan persuratan Melayu-Jawi yang beroperasi kini.

Versi pertama sisipan ini setelah dihidup-semula mempunyai ruangan berita teknologi tetapi telah ditiadakan dalam keluaran terkini. Walhal ruangan tersebut mampu menjadi daya tarikan kepada ramai orang untuk membacanya termasuklah diri penulis sendiri.

Bagi penulis, ruangan berita teknologi tersebut amat relevan dengan perkembangan dunia terkini malah kadangkala memberi maklumat lebih awal daripada berita teknologi akhbar inggeris. Ruangan itu selayaknya mendapat peruntukan dua mukasurat dan bukannya diberhentikan. Sememangnya ketiadaan ruangan tersebut memberikan tarikan sifar untuk membaca sisipan Utusan Melayu.

Apa yang dipaparkan pada sisipan terkini hanya berkisar kepada isu semasa sebagai mana yang ada dalam paparan puluhan akhbar Melayu Rumi yang lain mengakibatkan hambar untuk membacanya.

Sisipan Utusan Melayu boleh memaparkan biodata pemimpin tempatan era sebelum zaman merdeka atau tokoh-tokoh negarawan yang pernah berjasa kepada negara. Ruangan itu boleh ditambah-baikan dengan disediakan terjemahan Rumi-Inggeris sebagai kaedah pembelajaran dwi-bahasa secara santai, mampu menarik minat kanak-kanak malah orang dewasa sendiri.

Topik-topik lain yang boleh diutarakan ke dalam sisipan adalah seperti pensejarahan lengkap temadun Islam, temadun-temadun dunia yang lain, biodata pemimpin dunia [ masa lampau atau terkini ] dan sejarah kelahiran sesebuah negara moden. Kalau boleh ruangan tersebut boleh dibuat secara konsep dwibahasa juga.

Jika beberapa langkah tersebut dapat dilaksanakan, mungkin dapat serba- sedikit menambah seri kandungan sisipan Utusan Melayu untuk lebih menarik minat orang-ramai membacanya.

No comments:

Post a Comment