Saturday, December 10, 2011

Pusat Wifi Desa

Segera Wujudkan Taman Belia

Di era kemajuan teknologi maklumat masakini, masih terdapat jurang besar tidak celit ICT di kalangan belia dan remaja di kawasan pinggir bandar dan luar bandar iaitu di kawasan pekan kecil, perkampungan tradisional dan juga tanah rancangan Felda. Memang tidak dinafikan sudah ada kawasan tersebut disediakan kemudahan internet wifi namun masih mendapat sambutan dingin gara-gara suasana suram dan tidak memungkinkan golongan muda untuk berkumpul secara santai. Suasana tempat itu lebih berupa seperti suasana sebuah perpustakaan atau tempat berkumpul penuh dengan protokol peraturan yang ketat.

Memandangkan tahap ekonomi global semasa yang kurang memberangsangkan, penggunaan khidmat internet secara berbayar tentu sekali pilihan terakhir oleh golongan anak muda. Lagipun adalah lebih baik anak muda berkumpul secara santai dan melakukan aktiviti positif bersama.

Maka itu kewujudan pusat wifi yang lebih santai dan terbuka kepada umum terutamanya anak muda peringkat belia dan remaja perlu diadakan. Beberapa nama boleh digunakan untuk tempat ini seperti taman santai, taman belia, dewan santai, dewan info belia atau info sentral desa. Saya sendiri lebih suka menggunakan istilah Taman Belia kerana sangat sesuai dengan peranannya untuk menarik minat anak muda bawah umur 40 tahun berkumpul.

Beberapa ciri asas Taman Belia adalah seperti berikut ;

a) Tempat tersebut adalah dalam bentuk terbuka tanpa dinding sama ada ia dibina secara mudah pasang seperti rumah gudang berkerangka besi atau sebagai bumbung tambahan bangunan JKKK, Perpustakaan Desa atau balairaya kampung. Tidak perlu kemudahan pendingin hawa, cuma sistem kipas syiling sudah memadai.

b) Mempunyai bilangan kerusi meja yang boleh menampung sekurang-kurangnya 100 orang.

c) Selain berfungsi sebagai pusat wifi desa, kawasan sekeliling taman belia itu boleh ditempatkan warung gerai pelbagai yang diusahakan oleh warga desa itu sendiri seperti menjual burger, masakan panas dan sebagainya.

d) Tutorial penggunaan aplikasi ICT percuma boleh diadakan di tempat itu atau mungkin mana-mana IPT atau syarikat multinasional SBK boleh menjadikan ia sebagai projek khidmat masyarakat.


Diharapkan usaha untuk mewujudkan pusat ICT dapat digandakan dalam tempoh terdekat ini bagi mencapai tahap celik ICT sebanyak 95%.